February 18, 2016

KERAJAAN MELAYU SINGAPURA 
TAHUN 1170 -1262 M

Jika ada peluang saya ingin ke National Museum Singapore atau mana tempat di Singapura yang ada bukti sejarah Melayu dan kesultanannya. Tetapi menurut apa yang saya dengar dan baca, boleh dikatakan tidak ada langsung perkara signifikan yang diperkatakan mengenai Melayu di pulau itu. 


Semuanya mengenai sejarah pendatang Cina - sejarahnya, pendidikannya, budayanya, pemerintahannya, ekonominya - Melayu hanya menjadi nota kaki sahaja seperti melukut di tepi gantang. Apa yang dipamerkan perihal Melayu hanya serpihan batu yang dilakar tulisan kuno disebut sebagai Batu Badang.

Saya membaca dalam satu artikel menyatakan bahawa hanya sebaris penerangan tanpa makna diberikan pada papan tanda untuk menutup sejarah penting dan rahsia di sebaliknya. Batu Bersurat Singapura atau Batu Badang dijumpai pada tahun 1819 disebuah tempat dipanggil Rocky Point (sekarang Esplanade).


Kerajaan Melayu Singapura bermula pada tahun 566H/1170M
tiada dalam catatan sejarah?

Pada asalnya batu bersurat yang dipercayai menceritakan sejarah paling awal Singapura berukuran 3 meter x 3 meter dengan ketinggian 10 kaki dan seberat 40 tan.

Seperti biasa apabila mahu menutup sejarah Melayu, Inggeris pun meletupkan batu bersurat itu pada 1843 atas arahan Kapten Stevenson untuk melebarkan muara Sungai Singapura dan memperbesarkan Pelabuhan Fullerton dan kuaters penginapan.

Batu tersebut mempunyai 50 ke 52 baris ukiran tulisan kuno seinci lebarnya. Maknanya tidak dapat ditafsirkan walaupun Raffles sendiri pernah cuba tapi gagal.

Pegawai Inggeris yang menjumpai batu tersebut beranggapan ia adalah batu yang pernah diangkat oleh seorang Melayu perkasa bernama Badang.

Badang digambarkan seorang yang gagah mewakili Raja Singapura bertarung dengan Nadi Vijaya Vikrama bagi pihak Raja Benua Keling. Pertandingan mengangkat batu besar di hadapan Dewan Raja bagi merebut hadiah 7 buah kapal penuh dengan harta.

Vikrama hanya mampu mengangkat batu separas lutut tetapi Badang bukan sahaja berjaya mengangkatnya malah melontar batu  tersebut ke muara sungai Singapura.

Leftenan Kolonel James Low sempat menyimpan tiga serpihan kepingan batu tersebut yang tertera inskripsi di atasnya, sebagai bahan sejarah Melayu yang hilang di bumi Singapura.