May 05, 2016

PERJALANAN SATU MALAM RASULULLAH



Cerita nabi bertemu tuhan di langit tertinggi bukan cerita baru. Cerita inilah yang menarik minat kanak-kanak sejak zaman merdeka. Ustaz-ustaz dulu bikin cerita panas.

Ramai orang percaya bahawa Mikraj merupakan satu peristiwa yang menunjukkan bahawa Rasulullah sampai ke suatu tempat di atas langit yang ke tujuh dan di situlah Allah berada.

Kepercayaan atau iktikad yang mengatakan Allah berada di atas langit - samada yang dimaksudkan langit itu secara umum atau dikhususkan kepada Kursi atau Arasy - dianggap oleh pihak tertentu bertentangan dengan pandangan Ahlis Sunnah wal Jamaah. Ini kerana kepercayaan sedemikian menisbahkan atau menyifatkan Allah berada pada sudut, arah, ruang atau tempat. 

Sedangkan akidah dan kepercayaan umat Islam yang sebenarnya ialah bahawa Allah jualah yang menciptakan segala-galanya yang ada termasuk tempat, ruang, arah atau sudut. Allah telah pun ada atau wujud sebelum itu lagi tanpa memerlukan arah, sudut mahupun tempat. Inilah yang dikatakan bahawa kewujudan Allah itu azali; iaitu kewujudan Allah tidak dijadikan oleh sesiapapun kerana Dia adalah Tuhan. 

Tempat, arah dan lain-lain merupakan antara makhluk yang diciptakan oleh Allah. Inilah yang dikatakan bahawa kewujudan makhluk itu tidak azali; iaitu asal makhluk itu tidak ada kemudian ada kerana dijadikan oleh Allah. Oleh itu, maka mustahil bahawa Allah itu perlu atau berhajat kepada makhluk ciptaan-Nya sendiri sedangkan Allah telahpun wujud azali tanpa ada selain-Nya termasuk sudut, arah dan tempat.

Ijmak Ahlis Sunnah yang menunjukkan bahawa Allah wujud tanpa bertempat, sama ada di atas atau di bawah, kiri atau kanan, depan atau belakang kerana kesemua arah tersebut adalah ciptaan Allah yang asalnya tidak ada kemudian ada kerana dijadikan oleh Allah. Begitu jugalah masa, tidak kira sebelum atau selepas, semalam, hari ini atau esok, pagi atau petang, siang atau malam. Barang sesiapa beriktikad berlainan dari apa yang disebutkan ini, maka mereka itulah yang digelar sebagai golongan al-mushabbihah iaitu golongan yang menyamakan Allah dengan makhluk ciptaan-Nya sendiri.

Sehingga kini, masih sukar untuk menjawab soalan ini dengan tepat apabila anak kecil bertanya dimana tuhan berada.

No comments: