November 05, 2016

ANAK-ANAK MUDA MELAYU, BACA KISAH INI, SATU INSPIRASI

UCAPAN RINGKAS DAN INSPIRASI DARI MANTAN KETUA HAKIM NEGARA, TUN ABDUL HAMID MOHAMAD DI MAJLIS MAKAN TENGAH HARI BERSAMA PELAJAR-PELAJAR UNDANG-UNDANG UKM (Palm Garden Hotel, IOI Resort, Putrajaya,16 Oktober 2008)

Oleh sebab saya akan bersara esok, mungkin saya boleh dimaafkan jika saya bercakap mengenai diri saya. Mungkin ada pengajaran yang boleh diambil.

Memandang ke belakang, kisah hidup saya adalah kisah “survival” dan “kebetulan” atau, “qadha” dan “qadar”. Saya dilahirkan semasa pemerintahan Jepun di sebuah kampung yang bernama Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Seberang Perai. Suatu pagi saya bangun dan berkata kepada ayah saya: saya hendak pergi ke sekolah. Ayah saya memberi kebenaran. Beberapa hari kemudian, apabila sekolah dibuka semula, saya pun memakai baju abang saya dan mengikutnya ke sekolah, berkaki ayam mengharungi sawah padi. Sekolah itu ialah Sekolah Melayu Paya Keladi, Kepala Batas, Seberang Perai. Semasa dalam darjah tiga, waktu membuat gasing, saya tertetak jari telunjuk kanan saya hingga putus. Selepas seminggu, saya belajar menulis dengan tangan kiri dan mengambil peperiksaan tahun itu menulis dengan tangan kiri. Pengajaran Pertama: Kita ada dua tangan. Tak boleh guna tangan kanan, guna dengan tangan kiri. 

Suatu hari, guru darjah saya berkata bahawa dia hendak menghantar saya ke sekolah Inggeris. Saya masuk ke sekolah Inggeris, iaitu St. Mark’s Branch School, Prai. Untuk ke sekolah setiap hari saya terpaksa mengayuh basikal sejauh dua batu, menaiki bas sejauh sebelas batu, berjalan kaki sejauh satu batu, menyeberang sungai Perai dengan sampan dan berjalan kaki sejauh satu per empat batu lagi. 

Semasa di Tingkatan Lima di Sekolah Menengah St Mark’s saya menjadi pelajar Melayu pertama dilantiki sebagai Ketua Pengawas di sekolah itu. Dalam tahun itu juga saya menjadi johan syarahan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat kebangsaan bahagian pelajar Melayu lelaki. Johan bahagian pelajar bukan Melayu perempuan ialah seorang pelajar keturunan Baba Melaka, bernama Choong Giok Hee. Hari ini Choong Giok Hee itu adalah Toh Puan Hamidah Choong Binti Abdullah, isteri saya dan ibu kepada anak-anak saya. Saya tidak merancangnya. 

Di Tingkatan Enam di St. Xavier’s Institution, Pulau Pinang. Bersama-sama beberapa orang kawan, ada yang belajar di Methodist Boys’ School, ada yang belajar di Madrasah Al-Masyhur, ada yang belajar di Choong Ling High School, saya menyewa bilik di sebuah rumah seorang Cina tua di kawasan yang terkenal dengan kumpulan kongsi gelap. Suatu malam semasa membeli buah, penjual buah yang berbangsa Cina itu memberi tahu saya bahawa rusuhan kaum telah berlaku di Bukit Mertajam. Beliau khuatir dengan keselamatan saya. Syukur tiada apa yang tidak diingini berlaku. Pengajaran kedua: kemanusiaan ada di mana-mana, cuma banyak atau sedikit. 

Pada awal bulan Mei 1969, saya memasuki Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. Beberapa hari kemudian, saya terperangkap dalam peristiwa 13 Mei di Kampung Baru, Kuala Lumpur di mana saya menumpang di rumah seorang kawan. 

Saya berkhidmat dalam Perkhidmatan itu selama 21 tahun sebelum saya dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman. Dalam tempoh tersebut saya berkhidmat selama tujuh tahun di bawah Tun Mohamed Suffian dan Raja Azlan Shah (pada masa itu). Pengajaran keempat (daripada Tun Mohamed Suffian): “If you can choose between a simple word and a bombastic word, choose a simple word. If you can choose between a short sentence and a long sentence, choose a short sentence. If you have any doubt, delete.” Pengajaran kelima (daripada Raja Azlan Shah): “If you have no time, make time!” 

Dalam tahun 2004, saya dikehendaki mempengerusikan Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan kes liwat Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Di hari pertama, peguam beliau mengusulkan supaya saya menarik diri daripada membicara kes itu atas alasan besar kemungkinan saya akan berat sebelah. Saya menolak. Dato’ Seri Anwar Ibrahim bangun dan dengan suara yang lantang “mengutuk” saya di mahkamah terbuka. Dua hari sebelum penghakiman di sampaikan, pemandu saya meletak jawatan dengan serta merta. Malam itu cermin tingkap dua buah kereta anak-anak saya (cuma Kancil dan Iswara buruk sahaja) kena pecah. Tingkap dapur rumah saya juga kena kopak. Tetapi tidak ada barang-barang yang hilang. Dua hari selepas itu saya memandu sendiri dari Gombak ke Putrajaya dan menyampaikan penghakiman saya yang jujur mengikut undang-undang dan fakta yang dikemukakan di mahkamah. Saya sanggup menerima padahnya, jika ada. 

Dalam tahun 2006, saya adalah Hakim Mahkamah Persekutuan yang paling kanan. Terdapat dua kekosongan jawatan yang lebih tinggi, tetapi Hakim yang lebih “junior” dilantik untuk memangku satu daripadanya. Yang satu lagi dibiarkan kosong. Kemudiannya, apabila kekosongan hendak di isi, saya diketepikan juga. Pada masa itu saya teringat apa yang Tun Mohamed Suffian, secara beseloroh, dalam konteks pada masa itu, pernah berkata kepada saya: “You know Hamid, when the Bar Council thinks we are pro-government and the government thinks we are anti-government, it means that we are independent.” Kemudian, kebetulan, keluar video tape V.K.Lingam. Lepas itu, saya terpilih, bukan kerana meminta pertolongan Lingam tetapi kerana saya tidak terlibat dengannya. Pengajaran keenam: apabila Allah s.w.t. menghendaki sesuatu itu berlaku, tidak ada siapa yang boleh menghalangnya. 

No comments: