November 05, 2016

ANAK-ANAK MUDA MELAYU, BACA KISAH INI, SATU INSPIRASI

UCAPAN RINGKAS DAN INSPIRASI DARI MANTAN KETUA HAKIM NEGARA, TUN ABDUL HAMID MOHAMAD DI MAJLIS MAKAN TENGAH HARI BERSAMA PELAJAR-PELAJAR UNDANG-UNDANG UKM (Palm Garden Hotel, IOI Resort, Putrajaya,16 Oktober 2008)

Oleh sebab saya akan bersara esok, mungkin saya boleh dimaafkan jika saya bercakap mengenai diri saya. Mungkin ada pengajaran yang boleh diambil.

Memandang ke belakang, kisah hidup saya adalah kisah “survival” dan “kebetulan” atau, “qadha” dan “qadar”. Saya dilahirkan semasa pemerintahan Jepun di sebuah kampung yang bernama Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Seberang Perai. Suatu pagi saya bangun dan berkata kepada ayah saya: saya hendak pergi ke sekolah. Ayah saya memberi kebenaran. Beberapa hari kemudian, apabila sekolah dibuka semula, saya pun memakai baju abang saya dan mengikutnya ke sekolah, berkaki ayam mengharungi sawah padi. Sekolah itu ialah Sekolah Melayu Paya Keladi, Kepala Batas, Seberang Perai. Semasa dalam darjah tiga, waktu membuat gasing, saya tertetak jari telunjuk kanan saya hingga putus. Selepas seminggu, saya belajar menulis dengan tangan kiri dan mengambil peperiksaan tahun itu menulis dengan tangan kiri. Pengajaran Pertama: Kita ada dua tangan. Tak boleh guna tangan kanan, guna dengan tangan kiri. 

Suatu hari, guru darjah saya berkata bahawa dia hendak menghantar saya ke sekolah Inggeris. Saya masuk ke sekolah Inggeris, iaitu St. Mark’s Branch School, Prai. Untuk ke sekolah setiap hari saya terpaksa mengayuh basikal sejauh dua batu, menaiki bas sejauh sebelas batu, berjalan kaki sejauh satu batu, menyeberang sungai Perai dengan sampan dan berjalan kaki sejauh satu per empat batu lagi. 

Semasa di Tingkatan Lima di Sekolah Menengah St Mark’s saya menjadi pelajar Melayu pertama dilantiki sebagai Ketua Pengawas di sekolah itu. Dalam tahun itu juga saya menjadi johan syarahan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat kebangsaan bahagian pelajar Melayu lelaki. Johan bahagian pelajar bukan Melayu perempuan ialah seorang pelajar keturunan Baba Melaka, bernama Choong Giok Hee. Hari ini Choong Giok Hee itu adalah Toh Puan Hamidah Choong Binti Abdullah, isteri saya dan ibu kepada anak-anak saya. Saya tidak merancangnya. 

Di Tingkatan Enam di St. Xavier’s Institution, Pulau Pinang. Bersama-sama beberapa orang kawan, ada yang belajar di Methodist Boys’ School, ada yang belajar di Madrasah Al-Masyhur, ada yang belajar di Choong Ling High School, saya menyewa bilik di sebuah rumah seorang Cina tua di kawasan yang terkenal dengan kumpulan kongsi gelap. Suatu malam semasa membeli buah, penjual buah yang berbangsa Cina itu memberi tahu saya bahawa rusuhan kaum telah berlaku di Bukit Mertajam. Beliau khuatir dengan keselamatan saya. Syukur tiada apa yang tidak diingini berlaku. Pengajaran kedua: kemanusiaan ada di mana-mana, cuma banyak atau sedikit. 

Pada awal bulan Mei 1969, saya memasuki Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. Beberapa hari kemudian, saya terperangkap dalam peristiwa 13 Mei di Kampung Baru, Kuala Lumpur di mana saya menumpang di rumah seorang kawan. 

Saya berkhidmat dalam Perkhidmatan itu selama 21 tahun sebelum saya dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman. Dalam tempoh tersebut saya berkhidmat selama tujuh tahun di bawah Tun Mohamed Suffian dan Raja Azlan Shah (pada masa itu). Pengajaran keempat (daripada Tun Mohamed Suffian): “If you can choose between a simple word and a bombastic word, choose a simple word. If you can choose between a short sentence and a long sentence, choose a short sentence. If you have any doubt, delete.” Pengajaran kelima (daripada Raja Azlan Shah): “If you have no time, make time!” 

Dalam tahun 2004, saya dikehendaki mempengerusikan Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan kes liwat Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Di hari pertama, peguam beliau mengusulkan supaya saya menarik diri daripada membicara kes itu atas alasan besar kemungkinan saya akan berat sebelah. Saya menolak. Dato’ Seri Anwar Ibrahim bangun dan dengan suara yang lantang “mengutuk” saya di mahkamah terbuka. Dua hari sebelum penghakiman di sampaikan, pemandu saya meletak jawatan dengan serta merta. Malam itu cermin tingkap dua buah kereta anak-anak saya (cuma Kancil dan Iswara buruk sahaja) kena pecah. Tingkap dapur rumah saya juga kena kopak. Tetapi tidak ada barang-barang yang hilang. Dua hari selepas itu saya memandu sendiri dari Gombak ke Putrajaya dan menyampaikan penghakiman saya yang jujur mengikut undang-undang dan fakta yang dikemukakan di mahkamah. Saya sanggup menerima padahnya, jika ada. 

Dalam tahun 2006, saya adalah Hakim Mahkamah Persekutuan yang paling kanan. Terdapat dua kekosongan jawatan yang lebih tinggi, tetapi Hakim yang lebih “junior” dilantik untuk memangku satu daripadanya. Yang satu lagi dibiarkan kosong. Kemudiannya, apabila kekosongan hendak di isi, saya diketepikan juga. Pada masa itu saya teringat apa yang Tun Mohamed Suffian, secara beseloroh, dalam konteks pada masa itu, pernah berkata kepada saya: “You know Hamid, when the Bar Council thinks we are pro-government and the government thinks we are anti-government, it means that we are independent.” Kemudian, kebetulan, keluar video tape V.K.Lingam. Lepas itu, saya terpilih, bukan kerana meminta pertolongan Lingam tetapi kerana saya tidak terlibat dengannya. Pengajaran keenam: apabila Allah s.w.t. menghendaki sesuatu itu berlaku, tidak ada siapa yang boleh menghalangnya. 

November 01, 2016

TUNTUTAN MELAMPAU BUKAN MELAYU DI TANAH MELAYU

Pada pandangan saya, hubungan antara kaum di Malaysia masih baik. Rakyat berbagai kaum masih menjalani hubungan seperti biasa. Tidak ada ketegangan di antara kaum dalam hubungan mereka seharian. Hubungan sosial di antara sesama orang Melayu juga baik, tidak kira apa parti politik mereka. Apa yang berlaku semenjank PRU 12 ialah “political divide”. 

PAS, melalui janji syurga yang tidak perlu ditepati, mengkafirkan penyokong UMNO dan memburukkan pemimpin-pemimpin UMNO dan lain-lain, telah berjaya menarik sebilangan besar orang Melayu untuk menjadi penyokongnya, bukan lagi di kawsan pedalaman tetapi juga di kawasan bandar, bukan lagi di kalangan orang-orang yang berkelulusan Syari’ah tetapi juga di kalangan professional. Ini telah melemahkan UMNO. 

Tetapi, selagi PAS kekal bersendirian dan tertumpu kepada negeri-negeri Pantai Timur, ia tidak menjadi ancaman yang serius kepada kerajaan BN di peringkat Persekutuan. 

Keadaan berubah dengan penubuhan PKR. PKR telah berjaya menarik orang-orang yang kecewa, yang tidak mendapat tempat dalam UMNO, golongan opportunist dan yang marah kepada pemimpin-pemimpin UMNO tidak kira sama ada alasannya munasabah atau tidak. PKR telah membuktikan bahawa ia hanya mempunyai satu matlamat: berjuang untuk menjatuhkan Kerajaan BN untuk membolehkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai hasrat mereka, termasuk mengorbankan hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam. 

Melihat perpecahan orang Melayu, orang Cina khususnya, yang memang pandai membuat perkiraan, telah bersatu di belakang DAP, mengambil faedah daripada undi penyokong PKR dan PAS untuk menjatuhkan BN dan menjadi parti dominan dalam Pakatan Rakyat yang akan memerintah. Perak selepas PRU12 adalah misalan yang baik. Wakil PAS dijadikan sebagai Menteri Besar menyebabkan penyokong-penyokong PAS merasa bahawa mereka telah berjaya menubuhkan sebuah “Kerajaan Islam”. Maka bertakbirlah mereka di sepanjang jalan menunjuk perasaan. Hakikatnya majoriti ahli Exco adalah ahli-ahli DAP dan merekalah yang sebenarnnya berkuasa. Jika dulu “Pak Kadok menang sorak kampung tergadai, sekarang Haji Kadok menang takbir negeri tergadai.” Semua ini orang Melayu, khususnya dalam PAS, mesti sedar. 

Melihat keadaan ini, NGO-NGO Cina mula menunjukan sikapnya yang sebenar: tamak dan “kiasu”. Mereka mula membuat tuntutan-tuntutan yang tidak berpatutan yang melanggar peruntukan-peruntukan Perlembagaan khususny mengenai hak orang Melayu dan kedudukan Islam. Tindakan Gereja Katholik juga sangat merbahaya. Semua perbuatan itu bukan sahaja boleh menggugat perpaduan negara, malah ketenteraman negara. Semua ini tidak berlaku semasa orang Melayu teguh di belakang UMNO. 

Perbuatan itu mesti dibendung. Untuk itu Kerajaan hendaklah memikir semula mengenai keperluan mengadakan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kita tidak patut takut kepada kritikan mengenainya. Singapura dan Brunei mempunyai undang-undang yang serupa. Tidak pula dikritik. Apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat di Guantanamo adalah lebih teruk dari penahanan di bawah ISA.

Di samping itu, Kerajaan tidak patut terlalu berlembut apatah lagi takut kepada mereka sehingga tidak berani mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka. Tidak guna mempuyai undang-undang jika tidak berani menggunanya. 

UMNO juga mesti berusaha untuk menarik balik pengundi yang telah lari kepada PAS dan PKR malah sanggup mengundi DAP kerana taat kepada PKR dan PAS. PAS dan UMNO perlu berfikir untuk berkerjasama, sekurang-kurangnya di peringkat Persekutuan untuk mempertahankan Kerajaan Persekutuan daripada jatuh kepada PKR dan DAP. PAS mesti sedar bahawa perjuangan asal mereka adalah untuk Melayu dan Islam; bahawa jika Pakatan Rakyat berkuasa DAP akan menjadi parti dominan, bukan PKR atau PAS; bahawa PKR tidak boleh diharap untuk membela orang Melayu dan agama Islam; bahawa DAP adalah lebih chauvinistic daripada MCA atau Gerakan; bahawa PKR atau PAS tidak boleh mengawal cita-cita DAP seperti UMNO mengawal MCA dan Gerakan. Maka jika PAS tidak mahu hak Melayu dan kedudukan agama Islam digugat, ia hendaklah berkerjasama dengan UMNO. 

Sebenarnya, di antara PAS dengan UMNO sudah tidak ada apa bezanya lagi. Demikian juga tidak ada apa bezanya di antara Kelantan yang diperintah oleh PAS selama lebih kurang 40 tahun, dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia selain daipada mengadakan kaunter bayaran berasingan untuk lelaki dan perempuan. Dulu Qari’ah haram mengambil bahagian dalam tilawah Al-Qur’an. Sekarang ia sudah harus! Apa yang menjadi “penghalang” bukan ideology tetapi kepentingan diri. Pemimpin-pemimpin di kedua buah parti takut hilang kedudukan, jawatan dan pendapatan masing-masing, jika bercantum. Soalan: adakah itu asas perjuangan mereka? Masalah ini pun boleh di atasi jika kedua parti berkerjasama untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan, selepas keputusan pilihanraya di isytiharkan. 

Anak Negeri Sabah dan Sarawak juga patut sedar bahawa kedudukan mereka dalam Perlembagaan adalah serupa dengan kedudukan orang Melayu. Jika mereka mahu kedudukan mereka selamat, mereka hendaklah bersama-sama orang Melayu, UMNO dan BN. Bahawa sebahagian daripada mereka beragama Kristian tidak pernah menjadi masalah. Mereka boleh terus mengamalkannya seperti biasa dalam Bahasa Kadazan dan sebagainya. Yang dibantah oleh orang Islam, terutama sekali di Semenanjung Malaysia, ialah cubaan untuk menggunakan kalimah “Allah” dalam bible dan upacara agama dalam Bahasa Melayu, kerana motifnya adalah untuk mempengaruhi orang Melayu menganut agama Kristian. Ini jelas dilarang oleh Perlembagaan Malaysia. 

Jika PAS dan parti-parti Anak-Anak Negeri Sabah dan Sarawak boleh bersama-sama dengan UMNO dan BN, Kerajaan Persekutuan akan selamat walau pun orangCina bersatu di belakang DAP. Apabila mereka merasa bahawa keadaan itu akan merugikan mereka, mereka akan mula berfikir semula untuk berkerjasama dengan BN. Orang Cina membuat perkiraan mengikut untung-rugi. Itu sahajalah prinsip mereka. 

Kita sekali-kali tidak hendak meminggirkan orang Cina. Semenjak PRU 1955, UMNO memberi kawasan-kawasan majority Melayu yang selamat kepada calon-calon MCA dan MIC semata-mata untuk memberi representasi yang lebih kepada mereka. Apa yang berlaku selepas PRU13 pun adalah pilihan mereka sendiri. Pengundi-pengundi Cina yang berdiri sebulat suara di belakang DAP mungkin akan berfikir semula apabila mereka menimbang semula untung-ruginya. 

Pengundi-pengundi India patut bertanya diri mereka sama ada Kerajaan Pakatan Rakyat akan menjaga kepentingan mereka lebih baik daripada rekod BN selama lebih daripada lima dekad. 

Umur PKR terikat dengan umur Dato Seri Anwar Ibrahim, tidak lebih dari itu. 

Kerajaan mestilah bersikap tegas dan tidak melayan tuntutan-tuntutan melampau itu. Malah tindakan undang-undang hendaklah diambil terhadap mereka jika mereka melanggarnya. Di kebelakangan ini, Kerajaan nampak seolah-olah takut mengambil tindakan undang-undang terhadap aktivis yang menyebabkan mereka semakin melampau. Malah ada aktivis yang menghina lagu Kebangsaan yang bukan sahaja tidak dihadapkan ke mahkamah tetapi diberi bantuan kewangan untuk membuat film yang memburukkan Malaysia. Cuba bayangkan bagaimana Singapura akan bertindak dalam keadaan yang serupa. Seperti disebut tadi, Kerajaan mestilah memberi pertimbangan serius untuk mengadakan semula ISA. Pelampau hanya faham ketegasan, bukan diplomasi. 

Pemimpin-pemimpin UMNO juga patut sedar diri. Sebenarnya UMNO sebagai sebuah parti Melayu berada di atas landasan yang betul. Yang dipersoalkan ialah pemimpin-pemimpinnya. Mereka, isteri dan anak-anak mereka dilihat sebagi hidup mewah di luar kemampuan mereka yang membangkitkan isu rasuah. Saya dapati, politik wang dan tertutupnya pintu untuk “orang baru” memasuki dan memenangi apa-apa jawatan dalam hiahchy UMNO adalah faktor utama mengapa kalangan professional tidak menyertai UMNO. Mereka lebih mendapat tempat dalam PAS. Jika hal ini berterusan UMNO akan ketandusan pemimpin. Hal ini telah pun dirasai hari ini. 

(ARTIKEL INI TAJUK ASALNYA: PERPECAHAN MELAYU PUNCA TUNTUTAN MELAMPAU BUKAN MELAYU)

Tun Abdul Hamid Mohamad 
MANTAN KETUA HAKIM NEGARA

October 31, 2016

JANGAN BIARKAN BUKAN MELAYU PERALAT ORANG MELAYU

Kepada saya, orang Melayu sedang menghadapi satu keadaan yang lebih serius daripada keadaan dalam tahun 1946. Sekurang-kurangnya dalam tahun 1946, orang Melayu bersatu. Hari ini orang Melayu berpecah dan diperalatkan hingga suara yang majoriti telah menjadi minoriti dan suara minoriti menjadi kuasa penentu. Malangnya orang Melayu tidak sedar atau tidak peduli akibatnya. Di antara yang berkuasa ada yang seolah-olah hendak mengaut keuntungan selagi masa masih ada; yang baru merasa nikmat berkuasa sudah menunjukkan tamaknya; yang baru jadi Yang Berhormat seolah-olah sudah lupa daratan. Orang ramai membangkang kerana marah tanpa berfikir akibatnya.

Semasa orang Melayu sedang bercakaran sesama sendiri, orang bukan Melayu, terutama sekali orang Cina, membuat perkiraan. Mereka telah menguasai ekonomi, pelajaran dan bidang-bidang lain. Sekarang mereka nampak peluang untuk merampas kuasa politik. Maka, mereka bersatu di belakang DAP yang telah dapat mempergunakan PKR dan PAS untuk mencapai cita-cita mereka. PKR tidak kisah asalkan pemimpin agungnya dapat menjadi Perdana Menteri. Pemimpin-pemimpin PAS, terutama sekali yang baru merasa nikmat mempunyai kuasa dan kedudukan sudah lupa daratan. Mereka lupa perjuangan asal parti mereka dan ghairah dengan impian Putrajaya tanpa menyedari siapa yang sebenarya akan untung. 


UMNO pula sudah hilang kepimpinan dan genggaman. Hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak semakin dicabar. Agama Islam semakin dipersenda. Gerakan untuk memurtadkan orang Islam semakin berani. Walaupun dilarang oleh Perlembagaan dan walaupun ada undang-undang yang menjadikannya kesalahan, tindakan tidak atau tidak berani diambil terhadap mereka menyebabkan mereka menjadi lebih berani. 

TUN ABDUL HAMID
MANTAN KETUA HAKIM NEGARA 

October 08, 2016

ORANG YANG BIJAK SENTIASA BERSEDEKAH


"Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah lalu bertanya: Ya Rasulullah! Sedekah manakah yang lebih besar pahalanya? Nabi menjawab: Sedekah yang engkau berikan, sedangkan engkau pada masa itu masih sihat dan engkau bakhil (merasa sayang untuk mendermakan harta), engkau takut menjadi fakir dan engkau berangan-angan untuk menjadi lebih kaya. Maka janganlah engkau menangguhkan sedekah sehingga apabila roh sampai di kerongkong, lalu ketika itu baru engkau berkata: Untuk si dia harta ini, untuk si dia harta itu, pada hal harta engkau itu memang akan dimiliki (diwarisi) oleh orang lain." (Mafhum hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)



No matter how big or small, your donation can make a difference.

We will ensure that every penny goes to those who need it most.

via bank transfer

Account Number: 7002374891

Bank Name: CIMB Bank Berhad